KUCHING, 21 Jun: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersetuju melaksanakan inisiatif pengukuran proses permohonan tanah semasa (ASIS) di Semenanjung, Sabah, Sarawak , Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kolaboratif strategik bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) itu dilaksanakan menerusi Projek Penandaarasan Urusan Permohonan Kelulusan Tanah di Malaysia bagi Negeri Sarawak di Citadines Uplands Hotel di sini bermula hari ini, 21 hingga 22 Jun 2023.
Menurut Pengarah MPC Sarawak, Dr Mazlina Shafi’i, objektif program tersebut sebagai penanda aras proses permohonan kelulusan tanah di Malaysia yang merangkumi perkara seperti prosedur permohonan, tempoh masa memproses pembayaran, kos yang dibayar oleh pemohon kepada pihak Kerajaan, kualiti peraturan dan penguatkuasaan, amalan terbaik serta cadangan-cadangan yang boleh digunakan sebagai langkah ke arah penambaikan yang berterusan.
Pada masa sama, ujarnya projek tersebut melambangkan kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan Negeri Sarawak dalam melestarikan pembangunan ekonomi negeri yang berimpak tinggi.
“Program ini akan memberi manfaat kepada kerajaan negeri Sarawak khususnya dalam memudahkan persekitaran perniagaan agar dapat menarik minat pelabur serta para pengusaha dalam membangunkan ekonomi Sarawak dan mempercepatkan pembangunan fizikal dan ekonomi agar tahap produktiviti dan KDNK Sarawak dapat ditingkatkan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pelaksanaan inisiatif ini akan membolehkan satu laporan tanda aras bagi proses permohonan tanah setiap negeri di peroleh dan seterusnya dapat meningkatkan produktiviti sektor awam. -TVS