AL-LUBBAN ASH-SHARQIYA (Palestin), 21 Jun: Empat ditembak mati di sini, semalam, berhampiran penempatan penduduk di Tebing Barat, menurut pegawai Israel.
Kejadian itu berlaku sehari selepas serbuan tentera Israel di wilayah berkenaan hingga menyebabkan enam rakyat Palestin terbunuh.
Kematian terbabit adalah keganasan terbaru yang dikaitkan dengan konflik Israel-Palestin, yang sehingga kini sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 166 rakyat Palestin, 21 warga Israel, seorang Ukraine dan seorang Itali pada tahun ini.
Di Bandar Huwara, berhampiran Nablus, kira-kira 100 peneroka Yahudi menyerang penduduk dan membakar tanah ladang, menurut penduduk dan datuk bandar ketika dihubungi AFP.
Serangan peneroka lain dilaporkan pada waktu petang, di Al-Lubban al-Sharqiya, dekat Eli dan di Beit Furik, sebuah lagi bandar di utara Tebing Barat.
Ia berlaku di stesen minyak berhampiran penempatan Eli, selatan Nablus menyebabkan empat cedera yang tidak diketahui kewarganegarannya, menurut perkhidmatan kecemasan Magen David Adom (MDA) Israel.
Jurucakap tentera Israel berkata mereka mencari penyerang kedua yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan kereta curi, berhampiran bandar Tubas di utara.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata tenteranya “bekerja di lapangan untuk menyelesaikan kejadian berkenaan”.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Jerman, mengutuk serangan yang disifatkan tidak wajar. – TVS