KUCHING, 21 Jun: Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) tahun 2005/2006, Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed meninggal dunia hari ini.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Inai Kiara itu menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pagi tadi.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Nurussaadah, Kampung Cheras Baru dan akan dikebumikan selepas solat Asar.
Allahyarham juga pernah menyandang jawatan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2007-2010.
Untuk rekod skuad Sarawak tampil mewah dengan kehadiran ahli perniagaan itu apabila Sarawak dibarisi ramai pemain bintang ternama.
Antaranya termasuk nama besar Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto serta bekas pelatih akademi Manchester United, Junaid Hartley dan beberapa bekas pemain Selangor seperti Shahrin Majid dan Shahril Arshad. -TVS