KUCHING, 21 Jun: Pemergian bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed disifatkan sebagai kehilangan besar kepada arena bola sepak tempatan.
Lagenda bola sepak Sarawak, Abdul Jalil Ramli berkata, Allahyarham Gulzar Mohamad dikenali sebagai seorang majikan yang sangat baik dengan pekerjanya.
“Dalam konteks bola sepak, arwah banyak menyumbang kepada pembangunan bola sepak Sarawak dan negara.
“Sebagai salah seorang yang pernah berkhidmat di bawah kepimpinannya, saya mengenang Kapten Gulzar sebagai seorang majikan yang sentiasa bersikap rendah diri dan rapat dengan semua lapisan pekerjanya,” katanya kepada TVS.
Gulzar Mohamad yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Inai Kiara itu menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pagi tadi.
“Arwah merupakan orang Melayu pertama di Malaysia yang mempunyai sebuah syarikat yang besar dengan mempelopori kerja-kerja gali laut dan pantai,” kata Jalil lagi. -TVS