Artikel ini disiarkan sempena Hari Pelarian Sedunia yang disambut pada 20 Jun setiap tahun, seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
KLANG, 20 Jun: “Sedap betul kurma ayam ni, 10 kali lebih sedap daripada yang disaji di restoran saya. Shhh,” seloroh chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail, lebih dikenali sebagai Chef Wan.
Sajian yang dimaksudkannya itu hasil air tangan Hameed, seorang pelarian Pakistan yang sudah tinggal di Malaysia sejak enam tahun lalu.
“Hameed, saya kena bawa awak ke restoran saya. Awak boleh ajar chef saya cara memasak kurma ayam ini,” kata chef berusia 65 tahun itu, merujuk kepada restoran beliau, De.Wan di Kuala Lumpur.
Chef Wan berkunjung ke kediaman Hameed di Klang sebelum Ramadan lepas untuk penggambaran sebuah episod Dari Dapur, satu inisiatif global Hak Asasi Bangsa-Bangsa Bersatu, di Malaysia.
NYAWA TERANCAM DI TANAH AIR SENDIRI
Seperti pelarian lain, Hameed tidak pernah menyangka beliau dan keluarganya akhirnya terpaksa meninggalkan tanah air tercinta.
Beliau membesar dalam sebuah keluarga yang penuh dengan kasih sayang, mendapat pendidikan formal dan kemudiannya melakukan pelbagai jenis kerja demi menampung keperluan keluarga.
Bagaimanapun, Hameed dan keluarganya merupakan pengikut suatu mazhab yang kurang disenangi di Pakistan. Akibatnya, mereka menjadi sasaran keganasan pihak tertentu.
Saban hari ancaman terhadap keselamatan keluarganya semakin meruncing sehinggalah akhirnya mereka terpaksa melarikan diri dan bersembunyi.
“Pernah sekali, rumah kami diserang segerombolan perusuh lebih 500 orang. Mereka merampas segala barangan kami dan kemudian membakar rumah kami. Mujur ketika itu kami sempat melarikan diri ke bandar lain.
“Kami hanya dapat kembali setelah keadaan reda, kira-kira enam bulan selepas peristiwa itu berlaku,” Hameed menceritakan ketika ditemu bual Bernama.
Katanya bapanya kadangkala terpaksa berbohong tentang fahaman agama mereka demi keselamatan keluarga.
“Kami terpaksa hidup berpura-pura. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk memohon suaka dari Amerika Syarikat (AS) bagi dirinya dan seorang kakak dan abang saya,” kata Hameed yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik.
Beliau dan ahli keluarga lain kekal di Pakistan. Terpisah jauh di benua berbeza, kehidupan mereka bertambah mencabar.
“Pada masa itu tiada kemudahan internet, tiada WhatsApp. Jadi kami hanya dapat berhubung menerusi telefon dan surat untuk melepaskan rindu.
“Namun pada zaman itu panggilan telefon ini amatlah mahal, jadi kami hanya mampu membuat penggilan sekali sebulan. Itulah caranya kami berhubung,” katanya.
Pada tahun 1998, Hameed berjaya ke AS dengan status derivative refugee (kerana ayahnya pelarian utama atau principal refugee).
TETAP DIANCAM DI TEMPAT KERJA
Namun tragedi 11 September pada tahun 2001 merubah dasar AS terhadap pelarian dan cara berurusan dengan mereka. Undang-undang yang lebih ketat menyukarkan proses mendapatkan dokumentasi bagi Hameed.
Beliau meninggalkan AS pada tahun 2010 dan kembali ke Pakistan dengan harapan keadaan sudah berubah agar dapat membina semula kehidupan di tanah air sendiri.
Walaupun bertemu pasangan hidup dan dikurniakan dua cahaya mata, keadaan di Pakistan bagi mereka yang sepertinya tidak banyak berubah. Keselamatan keluarganya masih terancam.
Hameed dan keluarganya terpaksa berpindah-randah sebanyak enam kali dari tahun 2010 hingga ke 2016 untuk mengelakkan ancaman berterusan dari komuniti di sekeliling mereka.
Beliau juga sukar mendapatkan pekerjaan kerana sering menjadi sasaran gangguan rakan sekerja. Sering menjadi mangsa buli, beliau akhirnya terpaksa berhenti kerja.
“Ke mana sahaja saya pergi, sebaik sahaja mereka tahu saya menganut fahaman agama yang berbeza, mulalah mereka membuli saya. Akibatnya, saya terpaksa bertukar kerja dan tempat tinggal.
“Kami cuba bertahan, tetapi apabila mendengar khabar segerombolan perusuh ingin datang mencederakan kami, kami jadi nekad untuk meninggalkan negara.
“Apa yang boleh dijual, kami jual. Selebihnya, kami terpaksa tinggalkan. Kami bersembunyi di rumah salah seorang saudara kami sebelum meninggalkan Pakistan,” kata Hameed.
Beliau membuat keputusan membawa isteri dan dua orang anaknya ke Malaysia menggunaan visa pelawat sebelum memohon suaka. Proses ini dimudahkan kerana hubungan diplomatik yang baik antara Pakistan dan Malaysia.
Meskipun Malaysia bukan antara negara yang meratifikasi Konvensyen Pelarian (di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) 1951, Hameed yakin negara ini tetap akan memberi layanan baik dan penuh kemanusiaan bagi pelarian seperti beliau dan keluarganya.
“Bagi saya Malaysia adalah tempat perlindungan paling selamat. Ada kenalan saya dari Pakistan berada di negara ini. Saya berbincang dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat pilihan muktamad dan yakin Malaysialah pilihan terbaik,” katanya.
Namun begitu, keputusan yang diambil tetaplah amat sukar dibuat.
“Saya terpaksa meninggalkan segalanya dan memulakan kehidupan baharu di negara orang. Semuanya serba asing. Saya tak tahu bahasa dan budaya tempatan.
“Saya juga bimbang tentang pendidikan anak-anak saya kerana maklum sejak awal lagi, anak-anak pelarian tidak dibenarkan mengikuti pendidikan formal di Malaysia. Namun bagi saya keselamatan nyawa lebih utama daripada makanan, pekerjaan dan pendidikan.
“Hendak dapatkan semua itu, syaratnya kena hidup dahulu,” kata Hameed.
KEHIDUPAN BAHARU DI MALAYSIA
Kini, selepas enam tahun, Hameed sudah mampu menyewa rumah di Malaysia. Walaupun sederhana, kehidupan beliau dan keluarga jauh lebih selesa dan selamat berbanding di tanah air mereka sebelum ini.
Hameed juga aktif membantu komuniti Pakistan di Malaysia dengan menyediakan khidmat tuisyen dalam talian kerana seperti anak-anaknya, ada anak-anak Pakistan yang tiada peluang belajar secara formal di negara ini.
Menurut Hameed, beliau amat berterima kasih kepada masyarakat Malaysia yang menerima kehadiran mereka dengan kemesraan.
“Memang ada sedikit kebimbangan ketika menjejakkan kaki di negara ini. Bimbang saya mungkin berdepan dengan masalah sama apabila ada yang dapat tahu tentang fahaman agama saya. Syukur setakat ini saya tidak hadapi sebarang masalah,” katanya.
Budaya dan persekitaran di Malaysia juga menambat hati beliau kerana padanya walaupun sebuah negara Islam, ia tidak diskriminasi terhadap kaum minoriti.
“Bahagia saya apabila anak-anak saya boleh mendengar laungan azan lima kali sehari. Hanya satu masih saya harapkan, agar Malaysia mempunyai dasar membenarkan pelarian menetap di negara ini,” katanya.
Walaupun pernah menetap di AS dan maklum tentang negara lain yang mengiktiraf status pelarian, beliau tetap beranggapan Malaysia negara terbaik untuk didiami.
“Saya berharap sangat kami dapat menetap di negara ini,” kata Hameed.
Namun begitu, beliau sedar akan pandangan stereotaip segelintir masyarakat terhadap pelarian. Oleh sebab itulah beliau kurang selesa menceritakan kepada orang lain tentang status pelariannya.
“Mungkin tidak ramai yang tahu betapa peritnya kehidupan kami. Mereka fikir kami ini hidup bergantung kepada wang pembayar cukai. Itu tidak benar. Kami mahu bekerja (secara sah), dan kami juga berkeinginan menjadi rakyat yang membayar cukai,” katanya.
MAHU BUKA RESTORAN
Memandangkan Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951, Hameed sedar bahawa beliau dan keluarganya mungkin tidak dapat kekal di Malaysia.
Namun, seandainya dibenarkan tinggal dan bekerja dengan bebas di Malaysia, Hameed bercadang membuka perniagaan restoran serta menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan kerja kemasyarakatan.
“Saya ingin lihat anak-anak pelarian bersekolah seperti anak-anak lain. Alangkah baiknya jika dapat ditubuhkan sebuah sekolah bagi kanak-kanak pelarian. Saya impikan masa depan sedemikian sekiranya dibenarkan tinggal di negara ini,” kata Hameed.
Sementara itu, Chef Wan berkongsi pandangan bahawa rakyat Malaysia perlu sedar akan sumbangan migrasi ke atas kehidupan mereka.
“Peradaban manusia, makanan dan sejarah dunia semuanya berevolusi menerusi migrasi. Semua makanan kita ini berasal dari pelbagai pelosok dunia.
“Sedar atau tidak, jika kita jejak balik salasilah keluarga, kita semua berasal dari tempat lain. Dunia hari ini dibentuk, sama ada kita suka atau tidak, menerusi migrasi dan imigrasi. Itulah hakikatnya.” – TVS