IPOH, 19 Jun: Seorang pensyarah sebuah universiti di negeri ini berputih mata apabila wang miliknya hampir RM100,000 lesap selepas menjadi mangsa sindiket Phone Scam pada Rabu lalu.
Mangsa terpedaya setelah menerima sepucuk Notis Kehadiran tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, sindiket yang memperdaya mangsa telah menyamar sebagai polis apabila menghantar surat berkenaan yang bertandatangan Ketua Polis Perlis.
“Notis itu mendakwa mangsa disyaki terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan menggelapkan wang berjumlah RM2.8 juta.
“Mangsa yang takut telah mendedahkan maklumat peribadi dan akaun bank sehingga mengalami kerugian RM98,000 yang dikeluarkan sindiket secara pindahan wang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lagi nama ‘Inspektor Khoo’ diguna ‘phone scam’, kali ini pesara guru lesap lebih RM700 ribu
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, seorang peniaga makan di Teluk Intan dekat sini hampir menjadi mangsa sindiket yang menggunakan modus operandi sama apabila dia menerima satu panggilan telefon pada Rabu.
“Pemanggil memaklumkan terdapat kiriman bungkusan atas nama peniaga itu yang didakwa mengandungi barang terlarang.
“Dia turut menerima Notis Kehadiran yang berlogo PDRM dengan perjawatan Ketua Polis Perak menerusi telefon bimbit, namun tidak terpedaya dan segera membuat laporan polis,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berbeza, beliau berkata, sindiket Phone Scam merupakan penyumbang utama jenayah penipuan online di negeri ini apabila 358 kes direkodkan sepanjang tahun lalu dengan kerugian kira-kira RM15.1 juta.
Katanya, dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula, 181 kes dicatatkan membabitkan kerugian lebih RM8 juta. – TVS