KANOWIT, 20 Jun: Pameran dari pelbagai agensi kerajaan sempena dengan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka akan ditambah baik berikutan sambutan menggalakkan penduduk setempat, demikian menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu.
Katanya, perkara itu diberi perhatian berikutan beberapa ruang pameran sesetengah agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sesak apabila penduduk setempat menggunakan peluang semasa pameran untuk berurusan seperti mendaftar Kenyalang Gold Card.
“Kita akan mengadakan mesyuarat di Kapit berkaitan perkara ini memandangkan Kapit akan mengadakan pameran pada Jumaat ini. Kita mungkin akan meminta pihak jabatan di Kuching untuk turun membantu di pameran.
“Dalam pada itu, kita turut menggalakkan warga emas untuk menggunakan peluang ini turun mendaftar Kenyalang Gold Card. Bukan sahaja di ruang pameran tetapi juga di pejabat terdekat dan secara dalam talian. Namun kita faham mereka mungkin tidak mahir menggunakan telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas acara Sambutan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka di ‘pitstop’ Kanowit hari ini.
Konvoi Kembara Sarawak Merdeka terima sambutan meriah di Sibu
Sementara itu, Gerald turut memaklumkan perkara lain yang perlu ditambah baik ialah penyampaian maklumat kepada masyarakat agar mereka lebih cakna tentang penganjuran program Konvoi Kembara Sarawak Merdeka dan juga maklumat-maklumat lain.
“Saya lihat anak Sarawak mempunyai minat menjadi pengamal media, selepas banyak yang mencuba menjadi penyampai berita di sebuah ruang pameran stesen televisyen tempatan. Ini satu pekara yang baik memandangkan industri media juga mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi,” ujarnya. – TVS