KUCHING, 20 Jun: Penyanyi terkenal Bidayuh, Michael Gayut bakal tampil dengan single terbaharunya berjudul Semangat.
Menurut Micheal lagu itu bukan sekadar karya seni kerana mempunyai makna mendalam buat dirinya.
“Lagu ini merupakan penghargaan kepada bapa saya, seorang pejuang kanser yang telah meninggal dunia.
“Saya berharap karya ini akan memberi semangat kepada pesakit kanser yang lain khususnya rakan saya yang sedang berjuang melawan penyakit mereka,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.
Ditanya bila lagu itu akan dapat didengari, Micheal berkata, ketika ini karya berkenaan masih di peringkat penapisan oleh stesen radio.
“Begitu juga dengan satu lagi lagu baharu yang berjudul Cinta Magan Raga yang masih dalam proses penilaian,” katanya.
Terang Micheal, Cinta Magan Raga merupakan karya yang berbeza kerana berkisah tentang cinta.
“Lagu ini yang bermaksud cinta hilang harga mengisahkan percintaan sepasang kekasih namun salah seorang berubah hati dan seterusnya berpaling arah,” katanya.
Sementara itu, selain karier sebagai penyanyi, Micheal turut bergiat aktif sebagai pereka fesyen dan mahu menyambung perniagaannya.
“Selepas tiga tahun terhenti akibat COVID-19, saya mahu menyambung penglibatan dalam industri fesyen menerusi jenama saya iaitu MG Couture,” katanya.
Katanya, dia mahu mengekalkan konsep glam couture seperti sebelumnya.
Michael berharap agar kerjayanya dalam industri hiburan dan fesyen akan terus berkembang dan kukuh. -TVS