BOSTON (AMERIKA SYARIKAT), 20 Jun: Pasukan penyelamat ‘berlumba’ dengan masa dalam misi mencari kapal selam pelancong yang hilang berhampiran dengan bangkai kapal Titanic dengan lima anak kapal di dalamnya.
Salah seorang penumpang telah dikenal pasti sebagai ahli perniagaan dan jutawan British Hamish Harding.
Firma penerbangannya telah menyiarkan mengenai ekspedisinya di media sosial.
Kapal selam sertai ekspedisi Titanic hilang di pantai timur Kanada
Manakala ahli perniagaan terkenal Pakistan Shahzada Dawood yang merupakan naib pengerusi konglomerat Engro dan anaknya Suleman turut berada di atas kapal itu, kata satu kenyataan keluarga.
Menurut pihak berkuasa, kapal sepanjang 21 kaki (6.5 meter) yang dikendalikan oleh OceanGate Expeditions mula turun ke bangkai kapal pada Ahad tetapi terputus hubungan dengan permukaan kurang dua jam kemudian.
“Setakat ini, hubungan telah terputus dengan kapal selam mereka dan terdapat maklumat terhad yang tersedia,” kata kenyataan keluarga Dawood.
“Kami sangat berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakan sekerja dan rakan-rakan kami dan ingin meminta semua orang mendoakan keselamatan mereka,” tambahnya.
Pengawal Pantai AS telah melancarkan dua pesawat untuk meninjau kawasan terpencil di Atlantik Utara, manakala rakan sejawatannya dari Kanada telah menghantar sebuah kapal terbang dan sebuah kapal.
Kapal itu mempunyai julat 96 jam untuk lima anak kapal, dan Laksamana Muda Pengawal Pantai AS John Mauger berkata petang Isnin bahawa dia percaya ia masih mempunyai baki 70 jam atau lebih oksigen.
“Ia adalah satu cabaran untuk menjalankan pencarian di kawasan terpencil itu, tetapi kami menggunakan semua aset yang ada untuk memastikan kami dapat mengesan kapal itu dan menyelamatkan orang di atas kapal itu,” kata Mauger kepada pemberita di Boston pada Isnin.
Namun tanpa sebarang penampakan kapal atau isyarat komunikasi yang dilaporkan sepanjang hari, Pengawal Pantai AS menghentikan penerbangannya untuk hari itu.
Ia berkata operasi mencari sepanjang malam akan diketuai oleh Pengawal Kebangsaan AS dan pengendali misi itu.
Pengawal Pantai menambah bahawa pencarian oleh pesawat Kanada, yang menggunakan pelampung untuk mengimbas di bawah permukaan, akan diteruskan pada pagi Selasa.
Jurucakap OceanGate Expeditions memberitahu AFP dalam satu kenyataan lewat Isnin bahawa “kami tidak dapat berkomunikasi dengan salah satu kapal selam kami yang sedang melawat tapak karam Titanic.”
“Seluruh tumpuan kami adalah pada kesejahteraan anak kapal dan setiap langkah sedang diambil untuk membawa lima anak kapal pulang dengan selamat.”
Syarikat itu menggunakan kapal selam bernama Titan untuk membawa anak kapal ke bangkai Titanic.
Menurut lamab web syarikat itu, setiap tempat duduk berharga AS$250,000.
Harding, 58, telah menyiarkan Ahad di akaun Instagramnya bahawa dia berbangga menyertai misi Titanic OceanGate.
“Disebabkan musim sejuk terburuk di Newfoundland dalam tempoh 40 tahun, misi ini berkemungkinan menjadi misi pertama dan satu-satunya misi ke Titanic pada 2023,” tulisnya.
Paul-Henry Nargeolet, seorang penyelam veteran dan pakar mengenai bangkai kapal Titanic, juga merupakan sebahagian daripada kru Titan, kata Harding dalam akaun Instagramnya.
“Pasukan kapal selam itu mempunyai beberapa penjelajah legenda, beberapa daripadanya telah melakukan lebih 30 selaman ke RMS Titanic sejak 1980-an termasuk PH Nargeolet,” tambahnya.
Action Aviation menyiarkan hari Ahad di Twitter bahawa “kapal selam itu berjaya dilancarkan dan Hamish sedang menyelam,” dan menyertakan beberapa gambar Harding dan kakitangan misi di permukaan.
Titanic melanggar bongkah ais dan tenggelam pada 1912 semasa pelayaran sulungnya dari England ke New York dengan 2,224 penumpang dan anak kapal di dalamnya dengan angka kematian lebih daripada 1,500 orang. – TVS