Beliau berkata sektor perkapalan penting untuk perdagangan antarabangsa memandangkan 80 hingga 90 peratus perdagangan global berlaku melalui perkapalan dan dianggarkan melibatkan tiga peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau global (GHG).
“Sebagai negara anggota Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), harapan kami sebagai ahli majlis yang komited adalah untuk terus bekerjasama melalui misi jangka panjang yang dikongsi untuk menggalakkan perkapalan yang selamat, terjamin, mesra alam, cekap dan mampan untuk semua negara,” kata Hasbi dalam ucapan perasmiannya, sempena pameran dan persidangan Minggu Maritim Malaysia 2023 di sini hari ini.
Beliau juga berkata bahawa fokus utama pameran itu adalah untuk memfokuskan kepada perbincangan mengenai naratif global peralihan tenaga perkapalan, mengulangi komitmen yang tidak berbelah bahagi IMO untuk melindungi dan memelihara alam sekitar.
“Sebagai salah satu acara tahunan terbesar dalam industri maritim Malaysia, pameran kali ini akan memfokuskan kepada mesra alam seperti (mengurangkan) pelepasan karbon dan peralihan kepada tenaga lebih hijau dalam industri perkapalan,” kata timbalan menteri itu.
Acara tiga hari itu bertemakan “International Convention for the Prevention of Pollution from Ships (MARPOL) at 50-Our commitment goes on”.
Pameran ini terbuka kepada orang ramai dan mempamerkan 24 reruai daripada pemain industri tempatan dan empat pemain antarabangsa seperti Indonesia, Korea Selatan, Jepun dan China dalam menyokong peralihan yang lebih hijau dalam sektor perkapalan. – TVS