SIBU, 19 Jun: Di tengah suasana hiruk pikuk Pasar Sibu Sentral, kelihatan seorang wanita warga emas sedang tekun menjahit kasut.
Ditemani seorang wanita muda, operasi membaiki kasut pada ruang niaga dalam pasar itu berjalan lancar.
Seorang pelanggan pula dilihat tersenyum membelek kasut yang sudah dibaiki wanita itu.
Pasar Sentral Sibu perlu tempat letak kereta tambahan
Ketika dihampiri penulis, ‘popo’Â itu memperkenalkan dirinya sebagai Sia Kiew Eng.
Berusia 78 tahun, Kiew Eng berkata, dia sudah menjalankan perniagaan menjahit kasut di situ sejak 40 tahun lalu.
“Saya merupakan antara orang Cina yang pertama mengusahakan perniagaan menjahit kasut di sini.
“Pada mulanya, saya berniaga di kaki lima selama berbelas tahun. Selepas pasar ini siap lebih 10 tahun lalu, saya berpindah masuk ke sini,” katanya.
Dibantu oleh cucunya selama hampir dua tahun, Kiew Eng berkata, faktor dia memilih untuk beroperasi di situ kerana mudah untuk mendapat pelanggan.
Katanya, ekoran permintaan membaiki kasut yang semakin meningkat, dia meminta bantuan cucunya kerana tidak menang tangan melakukan kerja- kerja menjahit seorang diri.
Berkenaan harga perkhidmatan yang dikenakan, Kiew Eng berkata, bayaran bergantung kepada keadaan dan saiz kasut tersebut.
“Kalau kasut itu mengalami kerosakan yang banyak, harganya lebih mahal dan boleh mencecah hingga RM30,” katanya.
Bagi selipar, harga yang dicaj pula sekitar RM8 kata wanita itu.
Di sebalik kepakaran yang dimiliki untuk membaiki kasut pelanggan, Kiew Eng mengakui proses itu sebenarnya tidak mudah dan memakan masa.
“Untuk menjahit sepasang kasut yang rosak, saya memerlukan masa antara dua hingga tiga jam berbanding menjahit selipar hanya setengah jam sahaja,” katanya.
Menutup bicara, Kiew Eng berkata, dia berharap agar perniagaannya semakin maju dan akan diambil alih oleh cucunya kelak.-TVS