Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin. Foto Instagram Dr Norlela Ariffin.

Wakil rakyat PKR sokong saranan Fadillah agar PN sertai Kerajaaan Perpaduan

ByTVS

GEORGE TOWN, 18 Jun: Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin menyokong saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof supaya Perikatan Nasional (PN) menyertai Kerajaan Perpaduan.

Norlela yang juga Pengerusi Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan oleh PN berdasarkan prinsip ikhlas membela nasib rakyat.

Kata beliau, sekiranya dilakukan, perkara itu juga selaras dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sejak awal mahu PN bersama PH bergabung bagi membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“Ini pandangan peribadi (saya) dari segi niat yang baik, semua parti politik ingin buat kebaikan dan ikhlas demi negara.

“Maknanya bergabung untuk membangunkan negara dan mewujudkan kestabilan politik,” katanya kepada TVS hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Fadillah supaya PN menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan dan bukan memilih untuk terus berpolitik serta mempertikaikan usaha kerajaan pada hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, negara memerlukan kestabilan politik untuk memastikan pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negara dapat berjalan dengan lancar.

Mengulas lanjut, Norlela yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti berkata, wakil parti politik yang menang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu ikhlas dalam menentukan kestabilan politik negara.

“(Mereka perlu memainkan peranan untuk) membangunkan negara dengan membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Sehubungan itu saya berpandangan yang wajar untuk PN menyertai Kerajaan Perpaduan atas prinsip ikhlas membela nasib rakyat,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Perpaduan sekiranya disertai oleh PN dilihat mampu untuk membawa kestabilan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“(Kerajaan Perpaduan) yang dibentuk bersama Barisan Nasional (BN) membawa kestabilan biarpun pernah menjadi parti lawan selama 20 tahun.

“Lebih baik parti dengan kerusi kedua terbanyak dari pengundi (merujuk kepada PN) untuk jadi sebahagian Kerajaan Perpaduan bagi mewakili suara pengundi kedua paling ramai.

“Jika tidak masuk sebahagian kerajaan, ahli parlimen yang ramai ini hanya berperanan untuk membangkang berbanding memberi idea membina,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan