SARIKEI, 19 Jun: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi komitmen serius dan bersungguh-sungguh dalam memastikan pembangunan modal insan berilmu pengetahuan menjadi realiti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kesungguhan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Sarawak untuk berada seiring atau lebih ke hadapan daripada negeri-negeri lain.
Katanya, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak telah diberi tanggungjawab melaksanakan dasar untuk melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri komited melakukan semua perkara ini untuk menambah baik pembangunan pendidikan di Sarawak agar bidang pendidikan di Sarawak terus dinamik,” katanya pada Majlis Perasmian Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan dan Tokoh Guru Sarawak di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Abang Johari berkata, dari segi pendidikan dan modal insan, Sarawak berhasrat untuk memastikan pendidikan berkualiti yang boleh diakses oleh semua rakyat tanpa mengira siapa mereka.
Di samping itu katanya, Kerajaan Negeri juga komited untuk membangunkan masyarakat berasaskan pengetahuan yang berdaya saing di peringkat global.
“Menjelang 2030, kita mensasarkan Sarawak mempunyai persekitaran kerja yang berkualiti untuk memacu wawasan negeri dan cemerlang di peringkat global.
“Perkembangan inovasi dan teknologi juga perlu diberi perhatian yang serius kerana kedua-duanya memainkan peranan yang penting untuk menerajui pembangunan ekonomi yang mampan ke arah Sarawak yang makmur dan progresif selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0),” katanya.
Beliau optimis Pelan Pembangunan Strategik Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) tidak akan berjaya dilaksanakan dan mencapai matlamatnya jika tidak disertakan dengan pelan pembangunan modal insan dan pembangunan kemahiran yang berstruktur untuk memenuhi keperluan ‘ekonomi baharu.’
“Saya yakin masa hadapan ekonomi Sarawak yang mampan bergantung penuh kepada keupayaan negeri ini untuk membangunkan sumber-sumber yang ada dengan mengambil kira kepentingan alam sekitar, kelestarian sumber dan tadbir urus yang baik atau menepati keperluan prinsip
Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG),” katanya lagi.
Abang Johari juga berharap para guru yang bijaksana akan terus membantu untuk menerapkan nilai yang sejajar dengan prinsip ESG supaya masyarakat keseluruhannya lebih peka terhadap permasalahan alam sekitar khususnya mengenai perubahan iklim dunia dan langkah menanganinya.
“Saya berasa berbangga untuk menyatakan bahawa Sarawak lebih ke hadapan di rantau ini dalam usaha memainkan peranan bersama masyarakat global untuk menangani perubahan iklim dunia.
“Ini terbukti dengan inisiatif seperti melaksanakan transisi kepada bahan bakar tanpa emisi, iaitu hidrogen, Carbon Capture dan pengeluaran minyak daripada alga untuk industri penerbangan, semua untuk tujuan mensifarkan pengeluaran karbon ke udara,” ujarnya. – TVS