SIBU, 19 Jun: Buah dabai sememangnya sangat popular di Sarawak kerana digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Buah dengan nama sainstifiknya canarium odontophyllum ini banyak didapati di Sibu, Sarikei, Kapit dan Limbang.
Setiap kali tiba musim dabai pada Mei hingga Jun dan Disember hingga Januari, Pasar Sibu Sentral di sini meriah dengan lambakan buah berkenaan.
Salah seorang peniaga, Lucy Jambai berkata, dia mula menjual buah dabai sejak berusia 18 tahun.
Berusia 50 tahun kini, Lucy berkata dia terus ‘setia’ menjual dabai untuk kelangsungan hidup.
“Saya merupakan antara penjual senior di pasar ini.
“Saya juga akan menghantar ke Semenanjung Malaysia jika ada tempahan,” katanya kepada TVS.
Selain Sibu, Lucy berkata dia juga membekalkan dabai ke Kuching, Miri, Serian dan Bintulu.
“Bagi permintaan di luar Sibu, saya akan menggunakan perkhidmatan bas dan buah perlu dibungkus dengan kemas supaya kesegarannya kekal,” katanya.
Ditanya bagaimana mendapatkan stok dabai, Lucy memberitahu, dia akan membeli buah di ladang di Kapit dan Song kerana harganya lebih murah.
Lucy juga berkongsi keistimewaan dabai yang dijual olehnya yang lebih lemak berbanding dabai yang ditanam di Sibu.
“Sebenarnya pokok dabai di Kapit dan Song ditanam di kawasan bukit dan oleh itu, buahnya mempunyai keenakan berbeza,” katanya.
Sementara itu, Lucy memberitahu, setiap kali tiba musim dabai, permintaan buah itu akan melonjak sehingga dia memerlukan bantuan pekerja.
“Biasanya saya seorang sahaja yang uruskan perniagaan namun jika banyak order, saya akan upah seorang pekerja untuk membungkus dan menghantar dabai ke terminal bas,” katanya.
Menutup bicara, Lucy berharap agar dia dapat menjadi pembekal dabai terbesar di Sibu dan perniagaan semakin maju. -TVS