KUCHING, 19 Jun: Penerokaan Sarawak dalam ekonomi baharu yang mesra alam seperti seperti alga, karbon dan hidrogen oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diyakini akan membawa kesan positif dalam jangka masa panjang.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata, langkah oleh Premier Sarawak itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada minyak mentah yang tidak mampan.
Kata beliau, penglibatan berkenaan yang dimulakan ketika ini merupakan langkah tepat kerana tidak perlu menunggu sehingga sektor itu berkembang maju.
“Sekiranya pengeluaran mencapai tahap matang, saya yakin Sarawak akan menjadi pengeluar utama bagi menampung permintaan sumber yang boleh diperbaharui ini.
“Kita dapat memasarkan di peringkat global yang seterusnya akan menjadi sumber pendapatan yang baharu kepada Kerajaan Sarawak,” katanya ketika dihubungi TVS pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas transformasi ekonomi yang sedang berlaku di Sarawak di bawah pentabiran Abang Johari yang dilihat terkedepan dalam mempelopori ekonomi baharu yang masih kurang diberi perhatian oleh negeri – negeri lain di Malaysia.
Mengulas lanjur, Dzul Hadzwan berkata, pengenalan kepada ekonomi baharu juga dapat menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan yang berkualiti kepada rakyat Sarawak.
Sementara itu, Felo Penyelidik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pentadbiran Abang Johari telah melaksanakan pelbagai transformasi.
Ini kata beliau telah menjadikan Sarawak sebagai negeri yang bergerak ke hadapan dalam pelbagai aspek.
“Terbukti apabila Sarawak muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang berjaya mengkomersialkan bahan api penerbangan mampan (SAF).
“Transformasi ini memperlihatkan usaha Sarawak dalam ekonomi hijau sekaligus menjadikan Abang Johari dikenali sebagai tokoh yang menggalakkan ekonomi hidrogen,” ujarnya.
Pada masa sama, Awang Azman melihat usaha yang dilakukan Abang Johari sepanjang pentadbirannya menunjukkan komitmen jitu terhadpa ekonomi karbon menjelang 2050.
“Premier Sarawak itu akan dikenali sebagai tokoh yang menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga hijau dalam membangunkan stesen bahan bakar bersepadu dan projek hidrogen.
“Ini telah membangunkan suasana baharu dalam ekonomi karbon yang merupakan satu keperluan masa akan datang untuk Sarawak dan Malaysia yang turut diberi perhatian oleh peringkat global,” katanya. -TVS