KUCHING, 19 Jun: Pelantikan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu disifatkan sebagai pemilihan yang tepat melihat kepada pengalamannya yang luas dalam politik negara, kata Datuk Seri Fadilah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Wan Junaidi telah membuktikan bahawa beliau layak memegang jawatan itu berdasarkan pengalaman sebagai Ahli Dewan Negara sejak 1990 dan menteri dalam Kabinet Persekutuan sebelum ini.
“Pada penggal sebelumnya, beliau juga sangat agresif dalam memperjuangkan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk Perlembagaan Persekutuan. Beliau berpengalaman dan sememangnya layak untuk dilantik sebagai Speaker Dewan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Penerangan dan Dialog Guna Tenaga Agrikomoditi di Hotel Pullman, hari ini.
Terdahulu, Tan Sri Dr Wan Junaidi telah mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara hari ini dan telah dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-19.
Beliau menggantikan Tan Sri Rais Yatim yang telah tamat perkhidmatan pada 16 Jun.
Mengulas mengenai penglibatan Wan Junaidi dalam memperjuangkan MA63 sebagai Speaker Dewan Negara, Fadillah berkata, beliau tidak lagi terlibat dalam perbincangan mengenai tuntutan itu.
“Beliau tidak akan terlibat dalam proses perbincangan MA63. Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 akan terus memperjuangkannya,” katanya.
Sebelum ini, Wan Junaidi telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar bermula 1990 hinggan 2004, kemudiannya bertukar ke Santubong sehingga memilih untuk bersara pada 2022.
Beliau juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) bermula 30 Ogos 2021 hingga 24 November 2022. -TVS