SIBU, 19 Jun: Seorang lelaki patah kaki kiri selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang terlanggar bahagian sisi kanan kereta di Jalan Kampung Nyabor di sini, malam tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 10. 20 malam, lelaki berusia 26 tahun itu dari arah Pintu Gerbang Sibu menuju ke Kampung Nyabor.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 4 Sibu, Penguasa Bomba Kanan (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu jam 10.29 malam.
“Setibanya di tempat kejadian, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR1000 dan kereta Perodua Kancil.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua yang dipandu seorang mekanik berusia 40 tahun secara tiba-tiba dirempuh oleh motosikal berkenaan yang bergerak dari arah yang sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Akibat kemalangan itu, katanya, penunggang motosikal tercampak di atas jalan dan dipercayai patah kaki kiri selain kecederaan lain pada anggota badan.
Katanya, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke Hosiptal Sibu.
Andy berkata, pasukan bomba kemudian melakukan pembersihan jalan akibat tumpahan minyak daripada kesan kemalangan tersebut.
“Pasukan bomba telah bertindak menggunakan satu aliran salur bantu mula untuk membersihkan kesan tumpahan minyak dan menaburkan pasir di atas jalan bagi memastikan keadaan jalan raya di lokasi kejadian selamat digunakan,” katanya.
Operasi tamat pada jam 11.11malam. -TVS