KUCHING, 19 Jun: Kos projek pembinaan tiang bendera tertinggi negara bukan hanya membabitkan tiang, tetapi termasuk kos dataran projek yang terletak berdekatan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak atau Kubu Margherita di tebing Sungai Sarawak.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman yang berkata demikian, menambah kos bahan binaan semasa juga perlu diambil kira.
“Kos pembinaan dahulu dan sekarang jauh berbeza dengan peningkatan harga bahan binaan,” katanya hari ini ketika dihubungi diminta mengulas mengenai perbandingan kos projek berkenaan dengan projek-projek lain di bandar raya ini termasuk projek pembinaan Gereja St Peter dan Masjid India atau Masjid Terapung yang dikongsikan netizen sejak semalam.
Beliau menegaskan, projek berkenaan tidak menggunakan dana pembangunan kerajaan.
Pada Februari lepas, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan projek berkenaan dibiayai sepenuhnya pihak swasta sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (SCR) syarikat terbabit.
Dari aspek pelancongan, Fazzrudin berkata:
“(Tiang bendera ini) akan memesatkan ekonomi peniaga-peniaga kecil di kampung berdekatan dan peniaga kecil Tebingan Kuching kerana menjadi tarikan pengunjung.”
Bendera Sarawak yang terbesar mula dikibarkan di tiang setinggi 99 meter itu pada Sabtu (17 Jun).
Susulan itu, ramai netizen teruja dengan ikon baharu bandar raya Kuching yang mengibarkan bendera Sarawak terbesar berukuran 25 meter panjang dan 12.5 meter lebar.
Mengatasi tiang bendera di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang tingginya 95 meter, tiang bendera yang berhadapan dengan Tebingan Kuching itu dijadual siap sepenuhnya pada November ini. – TVS