PUTRAJAYA, 19 Jun: Bilangan kekosongan jawatan diiklankan dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5 peratus pada suku tahun pertama tahun ini, dengan merekodkan sejumlah 211,509 kekosongan berbanding 204,420 kekosongan pada suku keempat 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menerusi Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Penawaran Pekerjaan Diiklankan Dalam Talian di Malaysia bagi suku tahun pertama 2023 yang disiarkan hari ini, DOSM memaklumkan terdapat sebanyak 23,339 pertubuhan baharu yang menawarkan kekosongan jawatan berbanding 12,256 pertubuhan yang direkodkan pada suku keempat 2022.
Menurut DOSM, perincian secara bulanan menunjukkan majoriti kekosongan jawatan telah diiklankan pada Mac 2023 dengan 96,688 kekosongan merangkumi sumbangan sebanyak 45.7 peratus pada suku tahun pertama 2023, manakala terdapat 65,297 dan 49,524 kekosongan masing-masing pada Februari dan Januari 2023.
Jabatan itu memaklumkan, bagi kekosongan jawatan mengikut kategori pekerjaan, hampir separuh daripada kekosongan jawatan tertumpu dalam profesional dengan 47.9 peratus atau 101,214 kekosongan, diikuti juruteknik dan profesional bersekutu dengan 37,108 kekosongan, pengurus (29,203) dan pekerja sokongan perkeranian (18,354).
“Pekerjaan paling popular pada suku ini (suku pertama 2023) dengan permintaan yang lebih tinggi adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan dan juruaudit, profesional bersekutu pentadbiran serta pembangunan perisian,” menurut DOSM.
Bagi kekosongan jawatan mengikut keseluruhan sektor ekonomi, DOSM memaklumkan lebih separuh tertumpu kepada sektor perkhidmatan yang menyumbang 54.9 peratus atau 116,163 kekosongan pada suku pertama 2023.
Analisis kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi pula menunjukkan bilangan tertinggi dicatatkan oleh perdagangan borong dan runcit dengan 35,956 kekosongan, diikuti pembuatan (21,499), aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (13,852) dan aktiviti kewangan dan insurans/takaful (13,326).
Menurut DOSM, pekerjaan popular yang ditawarkan dalam kategori Pendidikan dan Latihan dan Vokasional (TVET) adalah profesional pengiklanan dan pemasaran yang mencatatkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 17,409 kekosongan diikuti profesional bersekutu pentadbiran (8,261) dan pembangunan perisian (6,528).
Jawatan dengan permintaan tertinggi bagi kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pula ialah juruteknik iaitu 2,005 kekosongan, pengurus projek (1,667) dan jurutera perisian (1,643).
Bagi Senarai Pekerjaan Kritikal (COL), DOSM memaklumkan tiga pekerjaan teratas ialah profesional pengiklanan dan pemasaran dengan 17,409 kekosongan, pengarah urusan dan ketua eksekutif (9,335) manakala akauntan dan juruaudit (8,605).
Dari segi kekosongan jawatan di peringkat negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus merekodkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 62,727 pada suku tahun pertama 2023, diikuti Selangor dan Johor masing-masing mencatatkan 39,990 dan 12,150 kekosongan. – TVS