KUCHING, 19 Jun: Pengguna telefon pintar dinasihatkan supaya tidak tergesa – gesa membuka pautan yang dihantar ke peranti masing – masing berikutan peningkatan kes penipuan dalam talian ketika ini.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, pengguna perlu membuat semakan terlebih dahulu bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa.
Kata beliau, punca kes penipuan dalam talian juga disebabkan oleh sikap kurang berhati-hati masyarakat apabila ‘berurusan’ secara dalam talian.
“Tidak kisahlah sama ada anda menggunakan telefon pintar Android atau IOS, pemilik perlu bertindak bijak termasuk jangan sewenang – wenangnya membuka pautan yang dihantar terutamanya oleh nombor tidak dikenali.
“(Penjenayah) menyasarkan orang ramai yang menggunakan apa sahaja jenis perisian telefon bimbit pintar,” katanya kepada TVS.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas teknik terbaharu oleh sindiket penipuan dalam talian yang menghantar ‘jemputan perkahwinan’ melalui aplikasi WhatsApp yang tular di media sosial baru-baru ini.
Jemputan berkenaan disahkan polis sebagai helah untuk mendapatkan maklumat dan membuat pengeluaran secara dalam talian tanpa disedari oleh pemilik akaun.
Sementara itu, Kamal Affandi turut mengingatkan pengguna peranti agar membuat semakan dengan sumber yang boleh dipercayai.
“Sekali lagi saya berpesan supaya periksa terlebih dahulu kesahihan pautan yang diterima.
“Sekiranya dari bank, kita perlu merujuk laman sesawang bank itu berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, pautan yang diterima menerusi aplikasi yang dimuat turut pada Google Play pula perlu dirujuk di platform berkenaan dan bukannya membuka pautan yang dikirim oleh nombor tidak dikenali. -TVS