DARO, 19 Jun: Kemerdekaan Sarawak perlu dihayati dalam konsep yang lebih luas berbanding hanya melihatnya sebagai bebas daripada belenggu penjajah dan ancaman luar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata, sejajar dengan perubahan masa, merdeka mencakupi pelbagai aspek kehidupan masyarakat hari ini.
Malah katanya, kemerdekaan juga menuntut masyarakat terus bersatu, mengelak diri daripada sebarang unsur negatif di samping menjurus ke arah berfikir secara lebih proaktif dan bersifat bergerak ke hadapan.
“Kita merdekakan diri kita daripada perkara yang membawa kita ke belakang, kita merdeka untuk bergerak ke hadapan dan membawa negeri kita ke satu era yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka Peringkat Daerah Daro di Kampung Penuai di sini, Sabtu lepas.
Hadir sama, Pegawai Daerah Daro, Bujang Rahman Seli dan Ketua Polis Daerah Daro, Deputi Superitenden Polis (DSP) Neil Beginda.
Beliau juga menggesa masyarakat khususnya generasi muda berganding bahu dan bekerjasama bagi memastikan kemerdekaan yang dikecapi terus terpelihara selain tidak melupakan jasa pemimpin dan pejuang yang terdahulu.
Malah katanya, generasi hari ini wajar menjadikan semangat perjuangan mereka sebagai inspirasi dan motivasi untuk membawa pembangunan negeri ke arah yang lebih sempurna.
“Generasi baru, menghargai pengorbanan pejuang-pejuang kita terutama sekali bekas perajurit, membawa satu suasana yang aman, tapi yang penting juga ialah kita sebagai generasi pasca merdeka, mengekalkan keamanan itu menjadi masyarakat yang proaktif dan produktif,” ujarnya. – TVS