KOTA SAMARAHAN, 18 Jun: Program Let’s Go Green: 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) menjadi antara inisiatif pihak Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara Cawangan Sarawak (UiTMCS) menggalakkan mahasiswa cintakan alam sekitar.
Program yang menekankan manfaat prinsip 3R bertujuan memberi kesedaran kepada komuniti dalam dan luar universiti tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
Majlis penutupan program telah dirasmikan Kaunselor MPKS, Abul Mutalib Julaihi mewakili Pengerusinya, Dato Peter Minos di Dewan Jubli UiTMCS Kampus Samarahan pada Sabtu.
Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Rektor UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2, Profesor Madya Dr. Hasmah Mohidin, Timbalan Pengerusi MPKS, Mirwan Abdul Karim dan Penyelaras Program Let’s Go Green, Izyan Farhana Zulkarnain.
Program alam sekitar itu turut menyasarkan seramai 100 orang komuniti di sekitar Kota Samarahan dan 300 orang pelajar universiti itu.
Penganjuran program kidmat masyarakat seperti itu adalah selari dengan tiga daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG17) yang diketengahkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk dicapai menjelang 2030. -TVS