KUCHING, 18 Jun: Penjawat awam berperanan sebagai penggerak utama dasar dan inisiatif kerajaan, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, penjawat awam turut membantu menjadikan pentadbiran di Sarawak lebih stabil, profesional dan berkelas dunia.
Beliau turut menyeru supaya penjawat awam memainkan peranan bagi menjayakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri ini maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“(Ke arah itu) semua anggota perkhidmatan awam di Sarawak harus kekal berdaya saing, proaktif serta mempunyai inisiatif dalam menambah baik mutu dan standard perkhidmatan awam di Sarawak untuk menjadikan kita sebagai sebuah badan pentadbiran yang disegani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sekalung Budi Sarawak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Yang turut hadir isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, sektor ekonomi digital yang difokuskan Kerajaan Sarawak juga turut memerlukan peranan penjawat awam dalam menjayakannya.
“Bagi memastikan Sarawak maju dalam ekonomi digital, kita perlu membina dan meletakkan semua infrastruktur digital yang diperlukan serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk melaksanakan ekonomi digital sepenuhnya dalam keadaan selamat, terjamin dan cara yang boleh dipercayai.
“Kita sedar bahawa kini kita berhadapan dengan dunia tanpa sempadan. Justeru pada zaman komunikasi tangkas ini, kita harus bergerak seiring dengan dunia digital dan di sinilah peranan setiap penjawat awam di Sarawak,” ujarnya. – TVS