Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol dan Pengarah UKAS Samuel Simon menghadiri Program Gawai yang berlangsung meriah di Rumah Jinga Igon, Sungai Kelai Pulau Bruit pada Sabtu. Foto: Pusat Khidmat DUN Semop.

Pengambilalihan MASWings perlu kajian terperinci – Abdullah

SIBU, 18 Jun: Sarawak mengalu-alukan cadangan Kerajaan Persekutuan mengambil alih kepentingan dalam MASwings, namun kajian terperinci perlu dilakukan kerana perkara itu melibatkan perbelanjaan yang besar.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Ukas) Datuk Abdullah Saidol berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhasrat mengurangkan kos penerbangan warga Sarawak yang sering menjadi isu terutama pada musim perayaan.

Bagaimanapun katanya, kajian secara menyeluruh adalah wajar kerana kos pengendalian sesebuah syarikat penerbangan bukan sesuatu yang murah.

“Kita mengalu-alukannya dan secara pribadi saya menyokong, tetapi kajian terperinci harus dilakukan supaya tanggungan kerajaan untuk mengurus syarikat penerbangan ini tidak akan mengganggu perbelanjaan kerajaan yang mengutamakan ke arah pembangunan luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Gawai di Rumah Jinga Igon, Sungai Kelai Pulau Bruit pada Sabtu.

Baru-baru ini, Kerajaan Sarawak secara prinsip telah bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan berhubung pengambilalihan MASwings Sdn.Bhd sebagai entiti penerbangan baharu milik Kerajaan Sarawak.

Perkara itu juga terhasil daripada cadangan Kerajaan Sarawak yang sebelum ini berhasrat untuk menubuhkan syarikat penerbangan butiknya sendiri.

“Niat Kerajaan GPS yang diketuai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ialah supaya dengan pengambilan syarikat penerbangan ini nanti, mungkin akan mengurangkan sedikit kos penerbangan, terutama sekali melibatkan penerbangan kita di Sarawak dan juga semenanjung Malaysia.

“Setiap kali perayaan tambang penerbangan sentiasa menjadi isu, saya rasa ini boleh membantu golongan yang kurang berkemampuan khususnya di luar bandar,” katanya.

MASwings merupakan Anak Syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi mengendalikan perkhidmatan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penerbangan butik itu akan menggunakan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

Sarawak kini berada hadapan dalam penghasilan bahan api berasaskan alga dan berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran SAF. – TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan