MUKAH, 18 Jun: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memasukkan kandungan sejarah Sarawak di dalam silibus mata pelajaran Sejarah.
Ini kerana menurutnya, tarikh 22 Julai seolah-olah dipinggirkan kerana hanya memfokuskan dengan tarikh 31 Ogos dan 16 September yang mana masing-masing merupakan tarikh Hari Kemerdekaan Tanah Melayu dan Hari Malaysia.
“Tetapi kalau kita sebut 22 Julai, tidak banyak kandungan sejarah mengenainya serta kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mengajar anak-anak kita di sekolah.
“Oleh itu, saya menyeru kepada Kerajaan Persekutuan melalui KPM untuk melihat semula isi kandungan buku teks mata pelajaran Sejarah yang menceritakan tentang sejarah Malaysia dan meletakkan tarikh 22 Julai setanding dengan tarikh-tarikh penting yang lain untuk dipelajari anak-anak kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Flag-Off Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Bahagian Mukah di Dewan Suarah Mesra Mukah, semalam.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu turut memberitahu Pameran Digital 60 Tahun Sarawak Merdeka adalah satu inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memberi pendedahan serta menyalurkan maklumat mengenai pembangunan dan agenda kerajaan kepada masyarakat setempat.
“Rugilah kalau generasi pelapis kita tidak tahu tentang apa yang sedang berlaku sekarang ini di negeri kita sendiri.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada penganjur kerana melibatkan anak-anak kita yang di bangku sekolah serta pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi untuk mendedahkan mereka mengenai perkara tersebut kerana kadang-kadang kita sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku,” katanya lagi.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Hii Chang Kee, Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine dan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi. – TVS