LAWAS, 18 Jun: Kerjasama semua pihak termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) ditagih untuk sama-sama menyelesaikan isu membabitkan kad pengenalan warganegara di Lawas.
Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong berkata, bagi tujuan itu KMKK di Lawas perlu proaktif dalam membantu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyelesaikan isu berhubung kad pengenalan dan kewarganegaraan yang kerap diperbesarkan dalam media sosial.
“Sebenarnya bukan ramai di Lawas yang berdepan masalah kad pengenalan. Kalau kita dengar taklimat tadi, dari segi ‘border scout’ ini hanya satu saja. Jadi ini dihebah- hebahkan di sosial media dan memberi satu gambaran yang kurang baik.
“Jadi kita bertekad untuk menyelesaikan dan pihak kerajaan di bawah pimpinan kerajaan sekarang mahu perkara seperti ini dinoktahkan,” katanya pada Program Kesedaran dan Tanggungjawab serta Dialog bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lawas semalam.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah JPN Malaysia, Saiful Yazan Alwi dan Pengarah JPN Negeri Sarawak, Awang Afferoz Awang Marikan.
Henry Sum meminta semua KMKK menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan ini di kawasan masing-masing dengan memberi kerjasama sepenuhnya kepada JPN khususnya.
Kata beliau lagi, sumber maklumat daripada akar umbi penting dalam menamatkan isu kad pengenalan dan kewarganegaraan ini.
“Penghulu ada kuasanya, ketua-ketua kaum ada kuasanya. Cuba kita lakukan tugas tanggungjawab kita. Saya tahu ada pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai tujuan yang baik, ada juga tujuan yang tidak baik.
“Kita di Lawas tidak mahu satu gambaran yang kurang baik dan kita perlu bekerjasama selesaikan masalah ini,” katanya lagi.-TVS