KUCHING, 17 Jun: Datuk Seri Fadillah Yusof menyarankan Perikatan Nasional (PN) agar menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan bukan hanya memilih untuk terus berpolitik dengan mempertikaikan usaha yang dilakukan kerajaan pada hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, negara memerlukan kestabilan politik untuk memastikan pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negara dapat berjalan dengan lancar.
“Paling utama sekarang ini ialah untuk memastikan kestabilan politik dan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja merangkumi semua wilayah dalam Malaysia tetapi mewakili semua etnik dan agama.
“Malahan, kalau dapat dicadangkan kepada PN, sertailah Kerajaan Perpaduan supaya tidak ada lagi politik dan kita bersama-sama membangunkan negara,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Samariang 2023 di Kampung Tunku, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengkritik prestasi Kerajaan Perpaduan yang disifatkan beliau sebagai sangat mendukacitakan.
Mengulas lanjut, Fadillah menegaskan bahawa semua pihak bebas memberikan pandangan dan kenyataan, namun hanya rakyat yang berhak menilai.
“Setiap orang ada hak menyatakan apa sahaja pandangan, namun akhirnya yang menentukan ialah rakyat sama ada apa yang dinyatakan betul atau tidak.
“Dalam konteks Kerajaan Perpaduan, komitmen kita untuk menyatukan rakyat dan apabila rakyat bersatu kita akan membawa rakyat bersama-sama untuk membangunkan negara,” jelasnya. – TVS