SIBU, 18 Jun: Dua lelaki yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk ditahan polis dalam operasi yang dijalankan di Jalan Channel, di sini, malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pemeriksaan ke atas dua lelaki berusia 25 dan 40 tahun berkenaan mendapati, kedua-duanya berada di bawah pengaruh alkohol yang melebihi had ditetapkan.
“Ujian saringan awal menggunakan alat SD2+, dan hasil ujian mendapati kedua-duanya positif sebelum dibawa balik ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sungai Merah untuk ujian pernafasan menggunakan alat EBAII.
“Hasilnya turut mendapati dua lelaki ini positif melebihi had yang ditetapkan.
“Kedua-dua individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu atau menjaga kenderaaan motor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dalam operasi tersebut pelbagai kesalahan dan tindakan saman telah diambil, antaranya seperti kesalahan ubah suai ekzos, kesalahan nombor pendaftaran dan tidak memakai tali pinggang keledar.
Operasi tersebut dijalankan selama tiga jam setengah bermula pada jam 10 malam sehingga 1.30 pagi Sabtu.
Zulkipli menasihatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.
“Orang awam disaran agar jangan memandu ketika di bawah pengaruh alkohol demi menjaga keselamatan diri dan orang lain,” tambahnya.-TVS