KUALA LUMPUR, 17 Jun: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pembabitan ahli politik dalam aktiviti judi dalam talian di negara ini.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan itu dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima dan pihaknya akan turut berkongsi maklumat tersebut dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah serta salah guna kuasa hingga menyebabkan isu judi (dalam talian) ini berlaku,” menurut kenyataan itu.
Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa wujud elemen naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada KDN dan PRDM serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.