Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Juara kategori tilawah bahagian qari, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dari Kelantan ditemani bapanya, Sarimi Yusoff selepas Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M di Butterworth malam tadi. Foto: TVS

Qari buta dari Kelantan juara tilawah al-Quran

BUTTERWORTH, 17 Jun: Cacat penglihatan tidak menjadi penghalang kepada qari dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, bergelar johan kategori tilawah pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M.

Muhammad Qayyim memperoleh markah 92.67 peratus, diikuti peserta johan menunggu, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan di tempat kedua (89.33 peratus) dan qari Negeri Sembilan, Mohamad Husaini Mahmur di tempat ketiga (88.99 peratus).

Kejayaan itu turut meletakkannya sebagai johan Orang Kelainan Upaya (OKU) pertama sejak pertandingan berkenaan berlangsung pada 1947.

Juara kategori tilawah bahagian qari, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi (dua dari kiri) dan juara bahagian qariah Nor Hidayah Abd Rahman (dua dari kanan) pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M di Butterworth malam tadi. Foto: TVS

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, beliau tidak menyangka akan dinobatkan juara pada acara tersebut kerana hanya menyasarkan tempat ketiga.

“Ketika diumumkan tempat ketiga dengan markah 80 lebih, saya rasa saya sudah tempat ketiga, tapi yang dumumkan nama Ustaz Husaini.

“Apabila diumumkan tempat pertama dan saya dengar markah lebih 92 saya memang tak sangka itu saya kerana ada qari yang baca lagi hebat,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau ditemui sebaik acara penyampaian hadiah pada majlis penutup yang diadakan di Pusat Konvensyen PICCA Arena@Butterworth di sini.

Acara itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.

Muhammad Qayyim yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dengan Pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan membaca al-Quran dalam versi tulisan braille.

Sementara itu, peserta dari Terengganu, Nor Hidayah Abd Rahman mengungguli bahagian qariah dengan markah 85 peratus, diikuti Nor Ruzana Natiah Jaafar dari Selangor (84.33 peratus) di tempat kedua dan Nurul Nadiah Hashim dari Johor (84 peratus) di tempat ketiga.

Acara itu membabitkan 108 peserta kategori tilawah qari dan qariah serta tiga kategori hafazan lelaki dan perempuan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan