Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pekebun kecil kelapa sawit patuhi standard MSPO, menuju pasaran global – TPM Fadillah

MIRI, 17 Jun: Pekebun-pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit diingatkan agar mematuhi standard yang telah ditetapkan oleh Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memasarkan produk secara global.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, inisiatif itu juga bagi memastikan alam sekitar kekal terjaga di samping menyara kehidupan melalui tanaman kelapa sawit.

“Jika kita mahu produk kita pergi ke persada dunia, kita mesti mematuhi kehendak dunia. Bukan sekadar mendapatkan sijil Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), tapi yang lebih utama amalan baik itu mesti menjadi budaya kita.

“Bukan sahaja untuk produk kita diterima pakai, bahkan untuk memastikan alam sekitar kita terjaga bagi bersama-sama menyara kehidupan melalui tanaman, meningkatkan ekonomi dan menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya.

Dato Sri Fadilah Yusof memukul gong sebagai gimik perasmian. Foto: TVS

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil Program Konsultasi Felda Global Ventures Holding (FGV) bersama Pekebun Kecil Persendirian dan Pembekal di Hotel Pullman di sini, hari ini.

Beliau berkata pensijilan MSPO telah diperkenalkan pada tahun 2013 merangkumi tiga prinsip utama yang menjadi tunjang industri sawit iaitu keseimbangan antara keperluan manusia, kelestarian alam sekitar dan juga penjanaan keuntungan.

Justeru itu, Fadillah mengingatkan agar para pekebun kecil untuk tidak memfokuskan tanaman kepada kelapa sawit sahaja, sebaliknya melaksanakan pertanian bersepadu untuk membuat tanaman lain bagi mendapatkan pendapatan yang konsisten dan memastikan keterjaminan makanan.

Sesi bergambar Dato Sri Fadilah Yusof bersama tetamu hadirin. Foto: TVS

“Kita hendaklah bersiap siaga iaitu pekebun kecil tidak boleh hanya bergantung kepada satu produk iaitu kelapa sawit. Sekarang kita kena buat pertanian bersepadu iaitu membuat tanaman lain yang boleh memastikan pendapatan kita konsisten.

“Pihak kementerian akan berbincang bagaimana kita memanfaatkan pekebun-pekebun kecil untuk berusaha supaya keterjaminan makanan kita dapat dikekalkan. Ladang sawit termasuk getah dan sebagainya,” katanya lagi.

Bertemakan ‘Pekebun Kecil Pendukung Kelestarian’, program ini dijalankan selama tiga hari bermula pada 15 sehingga 17 Jun meraih kerjasama dan penyertaan golongan pekebun kecil, pembekal serta peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Dengan sasaran penglibatan seramai 1,000 peserta, fokus utama program berkenaan adalah untuk memastikan kejayaan pelbagai inisiatif MSPO dan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) selain sebagai medium perkongsian maklumat keperluan antara industri, masyarakat dan alam sekitar serta memberi peluang pekebun kecil memberi maklum balas secara langsung kepada operasi FGV.

Setakat ini sehingga 31 Mei 2023, sejumlah 661,844.12 hektar keluasan bertanam sawit atau 81.10 peratus bagi kategori pekebun kecil persendirian telah dipersijilkan dengan MSPO di seluruh negara dan bagi kategori pekebun kecil tersusun di bawah Rancangan FELDA, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB) pula, sejumlah 665,535.51 hektar keluasan bertanam sawit iaitu 99.65% telah dipersijilkan dengan MSPO.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan