KUCHING, 17 Jun: Ilmuan Islam di negeri ini perlu menjalankan penyelidikan mengenai pelaksanaan sistem wakaf dalam memastikan tiada aset umat Islam terabai khususnya tanah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tanah luas yang dimiliki orang Islam harus diuruskan dengan sempurna agar dapat membuahkan hasil.
Tanpa pengurusan bijak, kata Abang Johari, ia boleh disifatkan sebagai pembaziran kerana membiarkan anugerah Allah kepada manusia.
Menurutnya, dengan adanya pemetaan dan penstrukturan wakaf secara strategik akan membolehkan kerajaan merangka bentuk pembangunan.
“Mungkin para cendekiawan Islam yang ada di sini boleh membuat kajian bagaimana mencari kaedah untuk meningkatkan tatacara pengurusan wakaf.
“Jika sebelum ini Allahyarham Profesor Tunku Aziz mewujudkan konsep koperasi Tabung Haji, dari sudut wakaf saya fikir kita harus mencari jalan. Ini kerana banyak tanah orang Islam terbiar, dan jika ia terus terbiar, maka ia menjadikan satu pembaziran yang secara tidak langsung tidak menghargai anugerah Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Seminar Pendidikan Islam Antarabangsa 2023 di Hotel Raia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, dengan pengurusan wakaf yang sempurna akan memberi manfaat kepada pembangunan sumber tenaga baharu.
“Ini termasuk membangunkan lumut yang mudah dibiak di kawasan pesisir di negeri ini yang majoritinya didiami orang Islam. Saya buatkan kajian lumut ini kerana ia boleh meningkatkan hasil pendapatan, selain karbon dan solar kerana kawasannya juga termasuk sumber air laut.
“Biasanya mereka adalah nelayan, jadi masuklah (tanah) dengan lumut yang mengeluarkan minyak, kalau tidak (diusahakan) ia akan merugikan,” katanya. – TVS