KUCHING, 16 Jun: Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi pertandingan Miss International Sarawak (MIS) pada tahun hadapan serta bergelar negeri pertama di Malaysia dipilih untuk acara menyandang gelaran ratu cantik bertaraf antarabangsa.
Pengarah Negeri MIS, Datuk Raymond Jolly mendedahkan pada tahun 2024 merupakan julung kali pertandingan berprestij itu diadakan di negara lain selain pangkalannya iaitu di Tokyo, Jepun.
“Melalui program sebegini ia bukan sahaja untuk menyandang gelaran ratu cantik, malah untuk memupuk persahabatan di antara semua negara,” katanya pada sidang media has MIS, pada Khamis.
Menurutnya Sarawak kini tidak lagi asing dengan pertandingan ratu cantik selain pernah menjadi tuan rumah dalam pelbagai pertandingan seumpama sebelum ini.
Justeru itu katanya penganjuran MIS di negeri ini sekali gus akan menyaksikan kecantikan, bakat dan mempromosikan warisan budaya yang ada di Sarawak turut berlangsung.
Tambahnya tujuan program tersebut diadakan di Sarawak juga untuk menaik taraf status wanita dalam kalangan sosial sehubungan itu Raymond mempelawa golongan wanita di negeri ini untuk menyertai uji bakat nanti.
Raymond mendedahkan tumpuan MIS kali ini akan mendekati masyarakat menerusi pelbagai aspek perkhidmatan masyarakat sebagai mewujudkan platform ratu cantik dalam masa sama memberi impak terhadap pelbagai sektor termasuk pelancongan, seni, budaya, pemerkasaan wanita, mata pencarian dan sosioekonomi.
Turut hadir Ahli Jawatankuasa Miss International Sarawak (MIS), Bridget Bulan Taja, Datin Pearl Jai Mohan dan Arzmy Hargreaves.-TVS