“Dasar semasa membawa dunia kepada peningkatan suhu 2.8 darjah menjelang akhir abad ini. Ia akan membawa malapetaka. Namun tindak balas kolektif tetap belum mencukupi,” kata Setiausaha Agung Antonio Guterres di taklimat akhbar pada Khamis.
Guterres menyuarakan kebimbangannya mengenai pendirian dunia terhadap perubahan iklim dan masih jauh tersasar dalam memenuhi janji serta komitmen iklim, lapor Agensi Anadolu.
“Saya melihat kurangnya cita-cita. Kurang kepercayaan. Kurang sokongan. Kurang kerjasama. Dan banyak masalah berkaitan kejelasan dan kredibiliti,” katanya.
Beliau mengkritik fakta bahawa hak asasi aktivis iklim sedang diinjak-injak dan golongan rentan paling menderita.
“Kita sedang menuju ke arah bencana, dengan mata terbuka – dengan terlalu ramai yang sanggup mempertaruhkan semuanya kepada khayalan, teknologi yang belum terbukti dan penyelesaian yang mudah,” kata ketua PBB itu.
Sambil mengkritik tindakan yang menjejaskan agenda iklim itu, Guterres menggesa semua negara untuk membina semula kepercayaan berdasarkan keadilan iklim dan mempercepatkan peralihan yang adil kepada ekonomi hijau.
Beliau berkata mengehadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius masih boleh dilaksana.