KUCHING, 16 Jun: Pesta Saratok 2023 yang merupakan aktiviti tahunan daerah Saratok dicadangkan untuk mengisi Kalendar Pelancongan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri optimis kemuncak pesta yang dimeriahkan dengan Regatta Kalaka 2023 pada 28 hingga 30 Julai 2023 di Tebingan Sungai Krian akan memperkukuhkan cadangannya.
Malahan menurut beliau dengan adanya pembangunan Lebuhraya Pan Borneo yang hampir siap akan memudahkan perjalanan orang luar mengunjungi daerah Saratok untuk merasai pengalaman pesta tersebut.
“Dengan adanya Lebuhraya Pan Borneo yang hampir siap, ia pastinya akan memudahkan dan memendekkan masa perjalanan pengunjung dari seluruh daerah negeri.
“Pesta Saratok ini akan berlangsung selama sebulan iaitu bermula 1 Julai sehingga 30 Julai 2023 bertempat di bandar Saratok,” katanya pada sidang media Pesta Saratok 2023 di Dewan Mulu Tingkat 17, Baitulmakmur Kuching pada Khamis.
Beliau dalam pada itu mempelawa masyarakat dari luar daerah berkenaan untuk datang berkunjung bagi merasai pengalaman di pesta tersebut yang menjanjikan sebanyak 200 gerai jualan menanti para pengunjung.
Menurutnya antara program menarik yang bakal memeriahkan Pesta Saratok 2023 pada kali ini adalah Labang Bike Week, Saratok Kitchen, Saratok Run Challenge, Sepak Takraw Terbuka Sarawak, Pangkah Gasing Kalaka 2023 dan Demo Kuih dan Makanan Tradisi Saratok.
“Tidak ketinggalan artis jemputan seperti Naqiu Boboy, Melissa Francis dan lain-lain akan turut sama memeriahkan Majlis Perasmian Pesta Saratok pada 22 Julai nanti,” ujarnya lagi.
Pesta tahunan berkenaan dianjurkan Pejabat Daerah Saratok dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta persatuan setempat.