MIRI, 16 Jun: Pelan Induk Pembangunan Greater Miri dijangka akan mengubah wajah bandar raya ini sebagai hab inovasi dan pusat kecemerlangan dalam pelbagai sektor.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata pelan ini merangkumi perancangan pembangunan mengenai penggunaan sumber asli dan penyediaan infrastruktur, utiliti dan kemudahan.
“Kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk melaksanakan Kajian Pelan Induk Pembangunan Greater Miri dengan objektif merangka pelan pembangunan komprehensif bagi Miri,” katanya.
Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin berkata demikian pada Bengkel Wawasan untuk Kajian Pelan Induk Pembangunan Greater Miri di sini, hari ini.
Kajian berkenaan dilaksanakan Konsortium Miri dengan kerjasama Universiti Curtin.
Menurutnya lagi, Pelan Induk Pembangunan Greater Miri juga bertujuan meningkatkan kualiti hidup dari segi sosioekonomi penduduk.
“Pelan ini bermatlamat mengiktiraf kepentingan inovasi dan teknologi sebagai pemangkin kemajuan.
“Kita akan memupuk persekitaran yang menggalakkan keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan,” katanya. – TVS