KUCHING, 16 Jun: Lapan kru termasuk nakhoda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana disyaki memunggah minyak diesel hak kerajaan tanpa kebenaran ke kapal tangki tidak dikenali bernilai RM215,000.00 pada Isnin lepas.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, penahanan pada 4 pagi di Tanjung Po itu dibuat berdasarkan aduan diterima Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot tunda berkenaan dikendalikan oleh lapan kru termasuk nakhoda. Semua kru adalah warganegara tempatan berumur lingkungan 24 tahun hingga 73 tahun. Kesemua mereka mempunyai pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semua kru ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana kesalahan pecah amanah jenayah iaitu dipercayai menjual minyak diesel yang dibekalkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tugasan pengukuran laut.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, jenayah maritim atau kecemasan di laut terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 010-7728909 yang beroperasi 24 jam. – TVS