Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Athira Hamjah yang mengusahakan kopi 'Bilem' di Kampung Kuala Tengah Oya, Mukah

Berniaga kopi ‘Bilem’ sambil martabatkan bahasa Melanau

ByYazid Ibrahim

OYA, 16 Jun: Hasrat memartabatkan bahasa Melanau menjadi pendorong bagi Athira Hamjah menjenamakan perniagaan kopi jualannya dengan nama ‘Bilem Bike and Brew’.

Menurut Athira, frasa ‘bilem’ bermaksud hitam yang dipilihnya untuk menggambarkan elemen utama perusahaannya yang berasaskan kopi selain mahu menampilkan bahasa Melanau kepada para pelanggan.

“Saya memilih nama ‘Bilem’ ini sebab saya sendiri orang Melanau yang mana saya mahu martabatkan bahasa Melanau dalam perniagaan kami.

“Mungkin dari situ pelanggan dari luar Mukah dapat belajar sedikit bahasa Melanau,” katanya ketika ditemui TVS di Kampung Kuala Tengah Oya, Mukah baru-baru ini.

Sementara itu, bercakap mengenai keistimewaan kopi buatannya, Athira mendedahkan biji kopi pilihannya diimport dari luar Sarawak serta menggunakan kopi jenis Arabica.

“Saya mahu jenama ‘Bilem’ terkenal setanding dengan produk-produk lain seperti Tusan, Tealive, Share Tea, dan Starbucks dan cita-cita saya untuk membuka satu cawangan di Bandar Mukah akan tercapai tidak lama lagi,” ujarnya.

Menurutnya pencapaian terbesar pada tahun ini ialah kejayaannya membuka satu lagi cawangannya di bandar Mukah iaitu dijangka selepas Raya Aidiladha.

Mengimbau kembali detik bermulanya gerai kopi ‘hipster’nya itu, wanita berusa 28 tahun itu memberitahu perusahaannya bermula dengan perniagaan membuat tempahan kek dan kuih-muih dari rumah seterusnya idea untuk membuka gerai kopi bermula pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020.

“Saya mula berniaga menjual air kopi setelah mendapati di sini (Mukah) belum ada peniaga mengusahakan kopi sebegini,” ujarnya.

Namun begitu katanya harga kopi yang ditawarkan bersifat mampu milik agar semua lapisan masyarakat mampu menikmati kopi yang dibrunya.

Athira mendedahkan sebelum ini Kopi Bilem juga telah membuka premisnya di tapak Pesta Kaul, Mukah pada bulan lepas serta memperoleh sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat mahupun luar dari Mukah.

Sejak mendapat sambutan baik daripada pelanggannya Athira kini mampu menambah bilangan pekerja bagi melancarkan perniagaannya.

“Pekerja kami kebanyakkan daripada lepasan SPM yang mana dapat memberi peluang kepada anak muda di kawasan Oya untuk mencari pendapatan sementara menunggu untuk sambung belajar.

“Kami juga akan memberi latihan untuk pekerja bagi memahami konsep industri makanan dan minuman bagi memastikan produk yang kami hasilkan berkualiti,” jelasnya.

Berkongsi senarai menu yang ada, menurutnya pengalaman sebagai graduan kulinari serta pernah bekerja di hotel dan kafe terkemuka di Semenanjung Malaysia dalam bidang barista menjadi panduan buatnya mempelbagaikan menu kopi.

“Dulu waktu bekerja sebagai pastry commis di hotel, saya mengendali bahagian pencuci mulut untuk kedai kopi itu.

“Dari situ saya belajar sedikit secara memproses air kopi,” ujarnya sambil mengakui suami turut menjadi tulang belakang perniagaan mereka. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan