KUCHING, 16 Jun: Sempena Perarakan Hari Gawai Dayak atau ‘Niti Daun’ pada 17 Jun ini, lapan lokasi jalan raya ditutup dan dilencongkan di pusat bandar raya ini.
Lokasi berkenaan ialah Bulatan Sri Aman / susur masuk Jalan Padungan, Bulatan Sri Aman / susur masuk Jalan Abell, lampu isyarat Jalan Abell / Jalan Petanak, Jalan Padungan / Jalan Bukit Mata, Jalan Wawasan/ Lebuh Wayang, Jalan Wawasan / Lebuh Wayang, Jalan Carpenter, Jalan Old Court House / Jalan Khoo Hun Yeang dan Jalan Gambir / Jalan Power.
Penutupan dan lencongan jalan akan dilakukan bermula hari ini, 4 petang hingga 5 petang serta pada 17 Jun, 10 pagi sehingga 5 petang.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata keperluan penutupan dan lencongan jalan ini bergantung kepada keadaan semasa yang difikirkan sesuai berdasarkan penilaian aliran trafik oleh pegawai polis bertugas agar tidak mengganggu pengguna jalan raya melakukan aktiviti harian.
“Orang ramai adalah dinasihati untuk mengikut tanda-tanda isyarat kawalan lalu lintas yang diarahkan oleh pegawai yang bertugas dan dilarang meletak kenderaan di bahu jalan yang akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Kerjasama semua amatlah diharapkan bagi melicinkan perjalanan program ini,” katanya menerusi kenyataan.
Orang ramai yang ingin berkunjung dinasihati meletak kenderaan di kawasan ditetapkan iaitu bangunan Saujana, Plaza Merdeka, Taman Budaya, bangunan Medan Pelita, sekitar bangunan Tun Jugah dan medan letak kereta Top Sport.
Perarakan akan diketuai oleh Premier Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan disertai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Niti Daun melibatkan 89 kontinjen dari pelbagai jabatan, agensi, pertubuhan dan NGO dan disertai 2,500 orang peserta melalui laluan Jalan Abel, Jalan Tunku Abdul rahman, Jalan Main Bazaar dan berakhir di Jalan Gambir.
Perarakan bermula dari hadapan bangunan Tun Jugah hingga ke Tebingan Kuching dengan jarak dianggarkan sepanjang 1.2 kilometer. – TVS