KUCHING, 15 Jun: Bank Rakyat hari ini menyerahkan zakat RM1,588,987.00 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman menyerahkan zakat berkenaan kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha mewakili TBS dengan disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, bayaran zakat Bank Rakyat di Sarawak tahun ini meningkat sebanyak RM52,000.00 berbanding tahun lepas.
“Zakat pada tahun ini menunjukkan prestasi Bank Rakyat Sarawak bertambah baik dari tahun ke tahun,” katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini.
Mengulas lanjut, Mohammad Hanis berkata Sarawak mempunyai 14 cawangan Bank Rakyat.
Bank Rakyat juga menyediakan perkhidmatan Bank Bergerak yang dikenali sebagai ‘Arrow’ untuk kemudahan kepada rakyat yang berada di kawasan luar bandar. – TVS