Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lim Hui Ying. Foto: Jabatan Penerangan

SPLKPM: Lebih 1,700 latihan berkaitan ICT dilaksana khas untuk guru

ByNisa Kasnoon

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Berdasarkan statistik dalam Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) sehingga 31 Mei 2023 sebanyak 1,789 latihan berkaitan digital atau ICT telah dilaksanakan.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadikan guru sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi selain meningkatkan kemahiran dalam aspek pendigitalan pendidikan bagi mendepani pendidikan abad ke-21.

“KPM turut melaksanakan program khidmat bantu pengintegrasian teknologi pendidikan kepada guru secara berterusan melalui aktiviti perkongsian video, webinar dan tutorial berkaitan dengan kaedah dan pendekatan penggunaan teknologi digital dalam penyampaian PdP yang berkesan.

“Guru yang terpilih memberi khidmat bantu terdiri daripada mereka yang telah diiktiraf oleh Microsoft, Google dan Apple. Kelompok ini dikenali sebagai Guru Peneraju Generasi Digital,” ujarnya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau meminta KPM menyatakan bantuan yang diteruskan oleh kementerian terhadap guru-guru yang terpaksa menguruskan pembelajaran secara bersemuka dan dalam talian disebabkan ketidakhadiran murid ekoran kes jangkitan COVID-19 ketika Malaysia masih berada dalam fasa peralihan endemik.

Selain itu, pada 2022, kerajaan memberikan Insentif Alat Bantuan Mengajar sebanyak RM100 secara sekali bayar kepada 416,260 guru sekolah di bawah KPM yang melibatkan peruntukan sebanyak RM41.6 juta.

“Bantuan kepada guru diteruskan pada 2023 dengan penyediaan 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan KPM bagi menyokong peranan guru dalam mendidik murid-murid selaras dengan arus pemodenan teknologi digital,” katanya.

Tegasnya, KPM sentiasa komited untuk menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi dan digital secara berterusan untuk memenuhi keperluan pendidikan masa hadapan.

Pada masa sama, KPM juga komited dalam menyediakan pembangunan profesionalisme berterusan kepada guru. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan