KUCHING, 15 Jun: Cogan kata ‘Segulai Sejalai’ selari dengan prinsip yang diamalkan oleh saluran televisyen tempatan, TVS dalam menerbitkan program berkonsepkan budaya masyarakat di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Zulkapli berkata, konsep itu mustahak bagi memastikan keistimewaan tradisi pelbagai suku kaum negeri ini dapat diperkenalkan kepada masyarkat luar.
“Dalam setiap penerbitan, kami (TVS) ingin memastikan budaya masyarakat Sarawak dapat diperkenal dengan meluas kepada penonton di seluruh Malaysia. Ini kerana TVS mewakili rakyat Sarawak.
“TVS mahu tradisi kumpulan etnik termasuk bahasa mereka dapat difahami dan dijiwai oleh penonton,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Berkat Gawai Get Together anjuran TVS, di Raia Hotel & Convention Centre Kuching di sini malam ini.
Menurutnya, TVS juga akan terus menerbitkan program dan siaran langsung bersempena sambutan perayaan yang signfikan kepada masyarakat Sarawak.
Antaranya termasuk Konvoi Kembara Sarawak Merdeka, Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka dan Hari Malaysia.
“Semua ini akan disambut meriah di Sarawak dan TVS akan menjadi penyiar kepada mereka yang ingin melihat bagaimana suasana sambutan di Sarawak. Jika anda ingin melihat kepelbagaian di Sarawak, tonton TVS,” katanya.
Baru – baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ‘Segulai Sejalai’ yang merupakan frasa bahasa Iban di Sarawak yang membawa maksud seiring sejalan akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan di seluruh negara. -TVS