KUCHING, 15 Jun: Projek pengeluaran bahan api mampan (SAF) berasaskan alga yang sedang dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak mampu menghasilkan kapasiti pengeluaran sebanyak 10,000 tangki sehari.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, anggaran berkenaan akan disumbang oleh kawasan pengeluaran yang akan diperluaskan di Bintulu selain yang sedia ada di Kuching.
Baca artikel berkaitan >>> Alga bawa limpahan ekonomi kepada Sarawak, hasilkan tiga bahan api berbeza
“Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SEDC) akan membangunkan satu lagi (kawasan) pengeluaran di Bintulu.
“Sekarang di Kuching tapak pengeluaran alga seluas satu ekar.
“Di Bintulu, kita buat di kawasan berkeluasan 1,000 ekar yang mana keluasan itu (kita) dapat menghasilkan 10,000 tangki setiap hari,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SEDC), SEDC Energy Sdn. Bhd. dan Syarikat Resintech Berhad di Taman Perindustrian Demak di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni dan Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain.
Katanya lagi, kawasan pengeluaran terbabit juga mampu meningkatkan rantaian bekalan dalam industri tersebut.
Dalam pada itu Abang Johari turut mencadangkan agar syarikat Resintech Berhad dapat mengaplikasikan penggunaan teknologi robotik dalam menghasilkan tangki simpanan alga selaras dengan teknologi terkini. -TVS