KUCHING, 15 Jun: Kesediaan Kerajaan Sarawak mengambil alih syarikat penerbangan tempatan, MASwings merupakan langkah yang baik namun harus diteliti perjanjiannya, kata Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Beliau yang Felo Penyelidik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) berkata, secara asasnya keputusan itu wajar dengan mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat Sarawak.
Namun demikian ujarnya, perjanjian pengambilalihan tidak boleh berat sebelah.
“Sekiranya (berat sebelah) dalam jangka masa panjang boleh merugikan rakyat dan Kerajaan Sarawak,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa Sarawak pada dasarnya bersetuju untuk mengambil alih perkhidmatan penerbangan itu selepas rundingan dibuat dengan Kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, kesediaan Sarawak melibatkan diri dengan sektor penerbangan secara tidak langsung dapat mengukuhkan ekonomi dan memenuhi keperluan rakyat.
“Sudah tentu dapat meningkatkan ekonomi Sarawak terutamanya dalam industri automotif, peralatan dan bekalan makanan.
“Langkah ini juga dapat menambah peluang pekerjaan seperti bilangan pramugari dan pramugara. Ia juga memudahkan rakyat Sarawak untuk balik ke kampung terutamanya ketika musim perayaan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hadzwan Husaini berpendapat, keputusan ini akan membawa transformasi industri penerbangan.
Sarawak bakal ambil alih MASwings jadi syarikat penerbangan butik – Abang Johari
“Formula ini menjadi teras kepada harga tiket penerbangan, ia tidak bergantung kepada tenaga yang tidak berasaskan petroleum yang sifatnya tidak stabil dan sukar dijangka.
“Kita dapat menikmati tambang penerbangan murah dengan adanya penerbangan yang berasakan sumber tenaga yang murah dan mampan seperti ini,” katanya ketika dihubungi TVS pada Khamis.
Katanya bagi memenuhi keperluan rakyat, Kerajaan Sarawak juga perlu mempertimbangkan untuk menambah laluan lain di Asia selain Indonesia dan Singapura.
“Rakyat Sarawak juga harus diberi keistimewaan iaitu harga tiket yang murah terutamanya yang berada di luar negeri,” ujarnya.
Ketua Strategi, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS, Profesor Madya Dr Evan Lau pula berkata, langkah Sarawak dalam mengambil alih syarikat MASwings merupakan tindakan berani.
“Selain menjana pendapatan alternatif untuk Sarawak seperti membuka peluang pekerjaan, ia turut menjadikan Sarawak sebagai wilayah yang lebih kompetitif berbanding dengan negeri yang lain.
“Ia juga akan membawa kepada limpahan yang positif ke arah industri lain di Sarawak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau percaya keputusan berkenaan akan membawa kepada pengenalan syarikat penerbangan yang mampan.
“Seperti yang kita sedia maklum, pasaran agak tepu kerana banyak syarikat penerbangan beroperasi di sini.
“Oleh itu dengan pengenalan syarikat penerbangan baharu (kelak) ia seharusnya menjadi sangat inovatif dan dapat menawarkan produk yang unik berbanding dengan yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan lain di Sarawak,” katanya lagi. -TVS