SARAJEVO, 14 Jun: Seorang kanak-kanak ditahan pada Rabu selepas didakwa menembak seorang guru di sebuah sekolah rendah di bandar Lukavac di timur laut Bosnia.
Menurut saksi, insiden itu berlaku sebulan selepas tembakan berturut-turut menggegarkan negara jiran Serbia, termasuk tragedi di sebuah sekolah rendah di Belgrade membabitkan seorang remaja berusia 13 tahun menembak mati 10 orang termasuk sembilan rakan kelas.
“Kanak-kanak itu, yang belum berusia 14 tahun, berada di bawah pengawasan polis di premis Jabatan Polis Lukavac manakala senjata api dan barangan rampasan lain selamat di bawah simpanan polis sehingga siasatan bermula,” kata kementerian dalam negeri Tuzla Canton.
Pegawai menyifatkan suspek sebagai bekas pelajar yang baru berpindah ke sekolah lain.
“Kanak-kanak itu dipindahkan ke sekolah lain sejak awal semester kedua akibat tindakan disiplin,” kata Ahmed Omerovic, menteri pendidikan Tuzla kepada pemberita.
“Hari ini tamat kelas di semua sekolah di wilayah Tuzla canton,” tambahnya.
Mangsa yang cedera ialah seorang guru bahasa Inggeris dan penolong pengetua dikenali sebagai Ismet Osmanovic.
Menurut hospital di bandar berdekatan Tuzla, mangsa dalam kejadian tembakan itu telah mengalami luka di bahagian leher.
Menurut Pusat Klinik Universiti Tuzla dalam satu kenyataan, pesakit ditidurkan dan perlu menjalani pembedahan. – TVS