KKD menjelaskan kempen eksport itu adalah dengan kerjasama rakan platform seperti Halal Street, PGMALL, Jazmine, Huayitong, Topzmall dan JDMAS.
“Pada 2021 dan 2022, beberapa kempen eksport e-dagang untuk PKS tempatan telah dijalankan seperti Eid Mubarak Festival bagi pasaran United Kingdom, Jelajah Ramadan bagi pasaran Brunei, 618 Festival bagi pasaran China, AOSD 2022 bagi pasaran 10 negara Asean, Malaysia Select bagi pasaran Taiwan dan Malaysia Flavor bagi pasaran Turkiye,” menurut KKD dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Khamis.
KKD menjawab soalan Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu cara Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) memastikan peniaga mikro dan PKS tempatan memperolehi peluang mengekport produk, berbanding dengan peniaga asing yang mengimport produk ke Malaysia.
KKD memaklumkan bagi memastikan lebih banyak PKS tempatan turut terbabit dalam DFTZ, memanfaatkan teknologi digital dan meraih peluang besar dalam aktiviti e-dagang rentas sempadan, pelbagai usaha dilaksanakan melalui kerjasama kementerian dan agensi seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
Antara usaha itu adalah perkongsian manfaat dan potensi e-dagang dengan PKS tempatan; membantu memperluaskan akses perniagaan kepada pelbagai e-pasaran seperti Alibaba.com, TMall, eBay, eRomman, Qoo10, CommerceAsia, Lazada dan Buy Malaysia; meningkatkan keupayaan e-dagang PKS tempatan melalui pelbagai program seperti www.go-eCommerce.my; dan menghubungkan pembeli luar negara dengan PKS tempatan dalam e-pasaran, tambah KKD. -TVS