Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Julaihi Narawi dan Datuk Abdullah Saidol ketika meninjau tapak kebocoran paip di laluan Lebuhraya Pan Borneo di Sarikei pada Rabu. Foto: TVS

Kontraktor Pan Borneo perlu lebih cermat, elak saluran paip pecah – Julaihi

SARIKEI, 15 Jun: Kontraktor yang melaksanakan Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak diingatkan supaya lebih berhati-hati bagi mengelak kerosakan saluran paip bekalan air.

Menteri Ultili dan Komunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, menegaskan perkara itu selepas melakukan lawatan mengejut ke lokasi kebocoran paip yang dipercayai berpunca daripada pelaksanaan projek berkenaan di Sarikei, semalam.

Susulan itu beberapa kawasan di sepanjang Jalan Bayong, Jalan Utama Simpang Jakar hingga Sebangkoi dan Baji mengalami masalah gangguan bekalan air namun kembali pulih seperti biasa beberapa jam kemudian.

“Saya harap, kontraktor yang buat kerja di tapak Pan Borneo lebih berhati-hatilah, memang mereka berhati-hati tapi lebih hati hati kerana ini melibatkan bekalan air kepada penduduk Sarikei.

“Jika ini berlaku (kebocoran), rakan-rakan seperti ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, timbalan residen dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan menjadi tempat orang bertanya. Keadaan begini memang di luar kawalan kita,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan mengejut ke tapak kebocoran paip di laluan Pan Borneo Sarikei, semalam.

Turut serta, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

Julaihi berkata lagi, sebarang kerosakan bukan sahaja boleh menimbulkan kesulitan tetapi juga mengambil masa yang lama untuk diselesaikan selain bergantung kepada keadaan kawasan di lokasi berkenaan.

Pada masa yang sama, aspek itu juga merupakan sebahagian perkara penting yang dibincangkan dalam pertemuan bersama agensi pelaksana di tapak Loji Rawatan Bayong.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan, masalah kebocoran yang kerap berlaku akibat paip lama dan uzur tetap akan diberikan perhatian yang sewajarnya.

“Langkah ini, amat penting bagi memastikan saluran paip itu berfungsi dengan baik sejajar dengan usaha kerajaan menaik taraf loji rawatan air sedia ada di seluruh Sarawak,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan