SARIKEI, 15 Jun: Kebocoran saluran paip utama dari Loji Rawatan Air Bayong di sini semalam, berlaku disebabkan kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) berkata kebocoran berkenaan telah mengakibatkan seramai lebih kurang 35,000 orang penduduk di beberapa kawasan di Bahagian Sarikei mengalami ganguan bekalan air.
“Bagi mengatasi masalah tersebut, JBALB telah mengarahkan pihak kontraktor Pan Borneo supaya melakukan kerja-kerja baik pulih dengan kadar segera bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang lebih teruk dan berpanjangan,” kata kenyataan JBALB, hari ini.
Selain itu, JBALB dan kontraktor Pan Borneo juga telah melakukan penghantaran bekalan air menggunakan lori ke kawasan-kawasan yang terjejas terutama ke sekolah, hospital dan klinik sehingga bekalan air kembali pulih seperti biasa.
JBALB memohon maaf susulan kesulitan yang timbul dan amat menghargai segala kerjasama serta kesabaran yang tinggi daripada para pengguna di kawasan terjejas.
Segala perkembangan terkini berkaitan kerja-kerja baik pulih akan dimaklumkan kepada pengguna melalui platform media sosial rasmi Facebook JBALB Sarawak dan Facebook Rakan JBALB Bahagian Sarikei.
Bagi sebarang pertanyaan dan aduan, para pengguna boleh menghubungi Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211. – TVS