SARIKEI, 15 Jun: Masalah bekalan air yang kerap membelenggu beberapa penempatan dan kampung di bahagian ini termasuk Tanjung Manis dan Pulau Bruit selesai apabila projek naik taraf Loji Rawatan Air Bayong siap sepenuhnya hujung tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, kerja pelaksanaan projek yang sedang rancak berjalan itu menelan kos sebanyak RM68 juta.
Ketika ini katanya, usaha sedang dilakukan untuk menaik taraf kapasiti loji itu daripada 70 juta liter padu sehari (MLD) kepada 100 MLD.
“Ini merupakan sebahagian insiatif penting Kerajaan Sarawak bagi memastikan penduduk bahagian ini menikmati bekalan air terawat yang mencukupi pada masa depan.
“Saya berharap usaha yang sedang dilaksanakan itu berjalan lancar supaya loji utama Bayong ini beroperasi dengan baik, seperti dalam perancangan,” katanya kepada media ketika melawat Loji Rawatan Air Bayong di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, RM4 bilion telah diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai jenis projek rakyat yang melibatkan bekalan air di seluruh Sarawak.
Sebahagian besar peruntukan itu katanya, datangnya daripada Sarawak sendiri dan berharap Kerajaan Persekutuan juga bersama membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
“Seperti yang saya katakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, kita mahu Kerajaan Persekutuan juga melihat hak mereka untuk memberi peruntukan yang mencukupi untuk sama-sama menyelesaikan masalah air di Sarawak.
“Setakat ini, sebahagian besar daripada peruntukan itu, datangnya dari bajet Sarawak sendiri,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, lebih banyak jumlah peruntukan yang diperlukan untuk mencapai liputan penuh bekalan air di negeri.
“Namun kita memerlukan kira-kira RM5.9 bilion bagi merealisasikan hasrat berkenaan dalam pertengahan penggal (mid-term review) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya. – TVS