COLOMBO, 15 Jun: Doktor tentera di Sri Lanka telah mengeluarkan batu karang terbesar di dunia daripada seorang pesara tentera berusia 62 tahun.
Menurut kenyataan tentera, batu yang dikeluarkan daripada bekas sarjan Canistus Coonge seberat 801 gram, lebih lima kali ganda berat buah pinggang lelaki biasa.
Batu karang Coonge berukuran 13.37 sentimeter panjang, berbanding dengan purata panjang buah pinggang antara 10 hingga 12sm.
“Pembuangan batu karang terbesar dan terberat di dunia melalui pembedahan besar berlaku pada 1 Jun di Hospital Tentera Colombo,” katanya pada Rabu.
Sementara itu, dalam temubual dengan stesen televisyen tempatan, Swarnavahini, Coonge memaklumkan dia mengalami sakit perut sejak 2020 dan ubat oral yang diambilnya sebelum ini tidak membantu.
“Saya diberitahu perlu menjalani pembedahan selepas imbasan baru-baru ini dan saya rasa normal sekarang,” katanya.
Kes di Sri Lanka itu mengatasi rekod buah pinggang terbesar sebelum ini iaitu 620 gram daripada seorang pesakit di Pakistan pada 2008, menurut Guinness World Records.
Penemuan terkini di Sri Lanka itu disahkan selepas Guinness World Records mengiktirafnya.
“Perkara paling penting bagi kami ialah buah pinggangnya berfungsi secara normal walaupun terdapat batu karang,” kata pakar bedah tentera, K Sutharshan.
Batu karang adalah mendapan mineral dan garam yang mengakibatkan kristal terbentuk dalam buah pinggang apabila ia menapis darah.
Pesakit batu karang akan mengalami kesakitan luar biasa ketika membuang air kecil, justeru memerlukan pembedahan jika ia terlalu besar dan tersekat. – AFP